PROGRAM PEMASARAN DAN PROMOSI
Program Pemasaran dan Promosi, Bahagian Ekonomi Desa (BED) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) adalah bertujuan membantu pengusaha-pengusaha Bumiputera luar bandar memasar dan mempromosikan produk-produk industri desa ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Tujuan
- Membangunkan dan memupuk pengusaha luar bandar yang berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.
- Menambah penglibatan pengusaha luar bandar dalam bidang perniagaan dengan mempromosi dan memperkenalkan produk-produk keluaran luar bandar.
- Menyediakan rangkaian pemasaran produk luar bandar untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
- Menyediakan pusat pemasaran di pelbagai peringkat - negeri, daerah dan kampung.
- Meningkatkan kualiti dan pembangunan produk dari segi pembungkusan dan pelabelan agar lebih menarik supaya berdaya saing dan berdaya maju.
- Meningkatkan keupayaan pemasaran dan produktiviti industri luar bandar dengan memberi tumpuan kepada aktiviti-aktiviti nilai tambah.
- Meningkatkan pendapatan pengusaha luar bandar melalui aktiviti bersepadu dari segi peningkatan ilmu pengetahuan pemasaran dan promosi.
- Memposisikan pengusaha, jenama dan produk-produk luar bandar yang berdaya maju melalui pengukuhan pasaran tempatan dan antarabangsa.
Kumpulan Sasar
Program Pemasaran dan Promosi, Bahagian Ekonomi Desa yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah disasarkan kepada pengusaha-pengusaha Bumiputera luar bandar yang dikategorikan seperti berikut:-
- Pengusaha Bumiputera luar bandar khususnya golongan berpendapatan rendah yang berpotensi untuk diketengahkan.
- Pengusaha-pengusaha Bumiputera luar bandar yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana yang tidak mampu untuk memasarkan produk-produk mereka.
- Pengusaha-pengusaha Bumiputera yang menjalankan perusahaan/perniagaan dan beroperasi luar kawasan bandar.
- Pengusaha-pengusaha Bumiputera luar bandar yang dibimbing oleh KKLW dan Agensi-agensi KKLW.
- Pengusaha-pengusaha Bumiputera luar bandar di kalangan Ahli Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Dewan Usahawan Industri Desa, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan seumpamanya.
Kaedah Pelaksanaan
- Menjalinkan rangkaian kerjasama dengan Kementerian, Agensi-agensi Kerajaan dan Jabatan Kerajaan yang lain.
- Mewujudkan pakatan strategik dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Pembangunan Negeri (PPN).
- Berkerjasama dengan NGOs termasuk Dewan-dewan Perniagaan seperti Dewan Usahawan Industri desa.
- Bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang menganjurkan ekspo dan pameran.
Syarat-syarat Penyertaan
- Pengusaha hendaklah terdiri daripada 100% Bumiputera luar bandar dan bukan pengusaha dalam bidang trading.
- Pengusaha yang menjalankan perusahaan/perniagaan dan beroperasi luar kawasan bandar.
- Pengusaha hendaklah mempunyai perusahaan/perniagaan sendiri dan mempunyai premis perusahaan/perniagaan yang berasingan daripada premis rumah kediaman.
- Pengusaha hendaklah menjalankan perusahaan/perniagaan secara sepenuh masa dan tidak bekerja di sektor Kerajaan atau swasta.
Pembiayaan Program Pemasaran Dan Promosi
Semua Program Pemasaran dan Promosi adalah dibiayai sepenuhnya oleh KKLW. Program/aktiviti ini dilaksanakan melalui penyaluran peruntukan kepada Agensi Pelaksana yang dilantik oleh KKLW. atau syarikat-syarikat yang menganjurkan ekspo/pameran yang diperakukan oleh KKLW. Pembiayaan ini hanya meliputi perkara-perkara berikut:-
- Booth
- Kelengkapan dan peralatan
Kos perjalanan pengangkutan, penginapan dan makan minum peserta yang dijemput/ditawarkan menyertai Program Pemasaran dan Promosi seperti ekspo, pameran, seminar dan sebagainya adalah tanggunggan peserta itu sendiri.
Senarai Program/Aktiviti
Program Pemasaran dan Promosi mempunyai tiga aktiviti utama iaitu:
1. Aktiviti Promosi
- Penganjuran ekspo/pameran di peringkat negeri
- Penyertaan Ekspo Luar Negara
- Penyertaan Ekspo Swasta/Badan Berkanun
- Mini Ekspo
- Bazar Ramadhan
- Flea Market
- Pengiklanan/Media Massa
2. Aktiviti Pemasaran
- Penubuhan pusat pemasaran peringkat negeri, daerah dan desa
- Bertujuan untuk mewujudkan pusat pemasaran bagi menyatukan usahawan-usahawan dan mengumpulkan produk desa supaya dapat mewujudkan rangkaian kerjasama. (Agen pemasaran/promosi/pameran).
- Kajian Pemasaran
- Bertujuan untuk menyediakan maklumat pasaran bagi menentukan saiz pameran, permintaan pengguna dan bilangan pesaing yang mengeluarkan produk yang sama.
- Objektif Kajian Pemasaran
- Mengenalpasti saiz pasaran dan permintaan pengguna.
- Mengenalpasti strategi/teknik pemasaran yang berkesan terhadap produk-produk desa.
- Mengenalpasti langkah permulaan yang boleh di ambil oleh pengusaha sebelum membuat pengeluaran produk.
3. Pendidikan Pemasaran dan Promosi
- Program ini dijalankan melalui penyertaan kursus, seminar dan konvensyen yang melibatkan pegawai-pegawai dari Kementerian dan Agensi-agensi di bawahnya serta kumpulan sasar bagi mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan produk dan bidang pemasaran.